Malik bin Anas bin Malik bin Abu Amir bin Amar bin Harits, dilahirkan
di Madinah pada 93 Hijrah. Moyangnya Abu Amir berasal dari Yaman yang berhijrah
ke Madinah untuk berguru dengan Rasulullah s.a.w dan menjadi antara sahabat
baginda yang setia. Ibunya pula Aliyah Syuraik dan ada riwayat menyatakan
ibunya mengandungkan dia selama dua tahun sebelum melahirkannya di Kampung
Zuwarmah di utara Madinah. Malik dilahirkan pada zaman pemerintahan khalifah
Umaiyyah keenam, Khalifah Al-Walid Abdul Malik Madinah yang terkenal sebagai
pusat ilmu telah memupuk cintanya terhadap ilmu al-Quran dan hadis.
Dia akan membuat satu simpulan tali setiap kali belajar sesebuah hadis
untuk mengingatkannya jumlah hadis yang dipelajarinya. Punya daya ingatan yang
sangat kuat, dan pernah suatu ketika gurunya, Ibnu Syihab menyampaikan 30
hadis, dia hanya mendapat 29 hadis saja; dia sanggup bertemu gurunya semula
memintanya mengulang semula satu hadis yang tertinggal itu.Zaman remajanya,
Malik pelajar yang sangat miskin sehingga terpaksa menjual kayu dari bumbung
rumahnya yang runtuh untuk mendapatkan wang. Dalam usia 17 tahun, dia sudah
mendalami pelbagai ilmu agama. Dia juga masih sangat rajin belajar walaupun
selepas berumah tangga dan dikatakan mempunyai 900 orang guru yang separuh
daripadanya adalah ulama tabien.
Malik sangat mencintai ilmu hadis dan dikatakan, jika dia dipanggil
untuk bercakap mengenai fikah, dia terus keluar dengan pakaian yang melekat di
tubuhnya. Tetapi jika dia dipanggil untuk bercakap mengenai hadis, dia akan
mandi, berpakaian kemas serta memakai harum-haruman sebelum keluar. Dia juga
melarang orang bercakap nyaring dalam majlis hadis sebagai menghormati
Rasulullah kerana hadis datangnya daripada Rasulullah. Malik menghabiskan 40
tahun untuk mengumpul hadis yang diterima daripada gurunya. Sebanyak 100,000
hadis dihafalnya, tetapi selepas disaring, hanya 10,000 diakui sah, yang
kemudian dipadankan dengan firman Allah. Akhirnya, hanya 5,000 yang diterima
sebagai benar-benar sabda Rasulullah. Hadis ini dihimpun dalam kitab
pertamanya, al-Muwatta’.Ada riwayat menyatakan, khalifah kedua Bani Umaiyah, Abu
Jaafar al-Mansur di Baghdad menggesa Malik supaya menulis ilmunya untuk
dijadikan rujukan.
Selepas mengumpul hadis itu, dia bingung memikirkan judul sesuai untuk
kitabnya sehingga bermimpi dikunjungi Rasulullah yang bersabda kepadanya,
“sebarkan kitab ini kepada manusia.” Akhirnya dia memutuskan untuk menamakan
kitab sulungnya itu al-Muwatta’ bermaksud Yang Disepakati atau Tunjang atau
Panduan. Kerana lamanya masa yang diambil untuk menyusun kitab ini, khalifah
meninggal sebelum sempat menatapnya. Pada zaman pemerintahan Harun al-Rashid,
al-Muwatta’ begitu dihormati sehingga khalifah mencadangkan kitab itu digantung
di Kaabah sebagai lambang perpaduan ulama dalam hal agama tetapi dibantah
Malik. Khalifah pernah mengutus Syeikh al-Barmaki untuk menjemput Malik
mengajar di istananya. Sebaliknya Malik menjawab, “ilmu pengetahuan harus
didatangi dan tidak disuruh mendatangi.” Utusan itu pulang ke Iraq dan
menyampaikan pesan berkenaan. Khalifah menghantar dua anak lelakinya ke majlis
ilmu Malik di Madinah.
Ketika menunaikan haji, khalifah sempat menemui Malik dan memintanya
membacakan kitabnya. Malik sebaliknya meminta khalifah hadir ke majlis ilmunya
sahaja. Khalifah membalas, mahu mendengar kitab itu di rumah Malik sendiri
tetapi Malik merendah diri menyatakan, kediamannya buruk, tidak sesuai untuk
dikunjungi seorang amirul mukminin.Khalifah menghadiahkan 3,000 dinar emas
kepada Malik untuk membina rumah baru. Hanya sedikit wang yang digunakan dan
selebihnya diberikan kepada sahabat lain. Suatu hari, semasa khalifah di
Madinah, sekali lagi Malik dijemput ke tempatnya untuk membacakan
al-Muwatta’.Mulanya dia enggan tetapi akhirnya bertukar fikiran lalu ke tempat
khalifah. Katanya, “saya harap janganlah tuanku jadi orang pertama yang tidak
menghormati ilmu. Saya tidak menolak permintaan tuanku tetapi saya harap tuanku
menghargai ilmu supaya Allah menghargai tuanku.”Khalifah bersetuju mengikut
Malik ke rumah.
Selepas duduk di kerusi khasnya, khalifah menegur kerana terdapat ramai
orang lain di situ. Tetapi Malik membalas, “jika orang ramai tidak dibenarkan
mendengar isi kitab ini, nescaya Allah tidak akan memberi rahmat kepada seorang
pendengar pun.” Khalifah akhirnya bersetuju membenarkan orang lain mendengar sama.Malik menyuruh
pelajarnya Ma’an membaca al-Muwatta’, tetapi sebelum pelajar itu membuka mulut,
Malik mencelah, “Para pencinta ilmu sangat menghargai ilmu. Tiada sesiapa akan
duduk lebih tinggi daripada ilmu.” Mendengar sindiran itu, khalifah turun duduk
di lantai bersama yang lain.
Antara sikap Malik, dia tidak pernah menolak hadiah yang diberikan
kerana baginya ilmu pengetahuan memang wajar mendapat penghargaan, apatah lagi
ilmu agama. Bagaimanapun banyak wang hadiah yang diberikan kepada pelajarnya.
Hidupnya tidak mewah tetapi dia gemar berpakaian kemas kerana baginya pakaian
yang kotor dan tidak senonoh akan menjatuhkan maruah ulama.Malik pernah
berdepan cabaran hebat pada masa pemerintahan Abu Jaafar al-Mansur, ketika anak
saudara khalifah, Jaafar Sulaiman menjadi gabenor Madinah. Gabenor muda dan
tidak berpengalaman itu kurang menghormati ulama, apatah lagi ketika itu
terdapat ramai yang mendengki Malik kerana kedudukannya.Termakan hasutan, Malik
yang berusia 54 tahun ketika itu ditahan dan diseksa dengan 70 sebatan. Hukuman
itu mencetuskan kemarahan orang Madinah, sangat membimbangkan khalifah di
Baghdad, lantas Jaafar dipecat. Khalifah dengan rendah diri berjumpa Malik
untuk meminta maaf dengannya. Hubungan baiknya dengan khalifahlah yang
mendorongnya menulis al-Muawatta’ yang terkenal itu.
Malik kembali ke rahmatullah pada Rabiulawal 179 Hijrah, dalam usia 90
tahun selepas menghidap sakit tua selama 20 hari dan dikebumikan di Baqi. Dia
meninggalkan seorang balu, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan. Hanya
anak perempuan tunggalnya, Fatimah yang mewarisi ilmunya mendalami al-Muwatta’.
Seumur hidupnya, Malik tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali ketika
menunaikan haji ke Mekah. Namun dia berjaya mengumpul ramai pelajar yang datang
dari luar Madinah. Pelajarnya yang ramai inilah bertanggungjawab melebarkan
Mazhab Maliki ke seluruh pelusuk dunia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar